Lebih
membimbangkan, CCTV berkualiti rendah itu disifatkan `sekadar ada' dan tidak
berupaya merakam lebih 70 peratus data mengenai suspek di lokasi tumpuan awam,
termasuk di kawasan berisiko jenayah seperti di premis bank.
Berikutan
itu, pihak berkuasa sentiasa berdepan kesukaran menyelesaikan kes dengan
bantuan CCTV.
BH
difahamkan, produk yang berkualiti rendah itu menjejaskan pengesanan, siasatan
dan pendakwaan kes kerana rakaman CCTV itu gagal mengecam suspek secara
teknikal.
Walau
sebanyak mana CCTV ditempatkan di sesuatu premis dan lokasi, ia tidak mampu
membantu pihak berkuasa kerana fungsinya hanya sekadar 'menakutkan' tetapi
gagal mengheret pesalah ke mahkamah.
Malah,
mengikut statistik CyberSecurity Malaysia (CSM), sejak tahun 2013, sebanyak 51
kes jenayah, termasuk kes berprofil tinggi gagal dari segi teknikal ketika
pihak pendakwaan menghadapkan suspek ke mahkamah.
Agensi
itu dengan kerjasama polis terbabit secara langsung menjalankan analisis
forensik CCTV kes jenayah berprofil tinggi, antaranya kes pembunuhan kejam ke
atas kanak-kanak berusia lapan tahun, Nurin Jazlin, pada Ogos 2007 yang menjadi
tumpuan awam.
Naib
Presiden Khidmat Tindak Balas CSM, Dr Aswami Ariffin, berkata kualiti CCTV yang
rendah itu menyebabkan pakar forensik sukar mengenal pasti dan membawa
penjenayah ke pendakwaan walaupun ada bukti dan saksi sokongan.
Sebagai contoh, katanya, satu kes penderaan membabitkan kanak-kanak berusia setahun yang disyaki didera pembantu rumah warga Indonesia di Tanjung Malim, beberapa tahun lalu, gagal diselesaikan berikutan kelemahan itu.
"Keadaan
ini menyebabkan suspek dibebaskan selepas tempoh reman tamat manakala dalam
beberapa kes jenayah lain, pihak berkuasa tidak berupaya membuat tangkapan
kerana kelemahan data fizikal pelaku diperoleh daripada rakaman CCTV di lokasi
kejadian," katanya kepada BH.
Beliau
berkata, CCTV berkualiti rendah menyebabkan suspek yang memakai topi keledar
tertutup dan gelap, gagal dikesan, sebaliknya penggunaan CCTV berkualiti tinggi
boleh mengecam corak atau tanda lain pada baju penjenayah dan tatu serta parut
pada badan.
"CCTV
berkualiti tinggi menggunakan kamera beresolusi melebihi lima mega piksel yang
dihubungkan dengan sistem pengesan global (GPS), tiada had masa penyimpanan
data dan boleh bertindak sebagai 'robot' yang terus merakamkan tindakan luar
biasa orang ramai di sesuatu lokasi dengan menghantar amaran awal kepada
pemilik bangunan atau pegawai yang menyelia CCTV secara terus.
"Berbeza
dengan CCTV berkualiti rendah, ia menggunakan resolusi rendah dengan
penyimpanan data terhad bagi tempoh tertentu dan gambar yang kabur,"
katanya.
Aswami
berkata, pihaknya sudah mencadangkan pengguna memasang CCTV bermutu tinggi
dengan kos murah bagi memenuhi konsep Bandar Selamat selaras hasrat kerajaan,
pada tahun depan.
"Kerajaan
dicadangkan menetapkan satu standard dalam kualiti video CCTV tetapi yang
paling penting, CSM boleh buat analisis forensik untuk lengkapkan siasatan.
"CSM
turut memiliki kepakaran membaik pulih data rakaman yang sudah dimusnahkan
suspek di lokasi jenayah, selain meningkatkan mutu kualiti gambar sehingga 20
peratus mengikut standard ditetapkan," katanya.
Sementara
itu, Ketua Negara Jabatan Sistem Penyelesaian Panasonic Malaysia, Tharmaseelan
Kandasamy, berkata kira-kira 75 peratus daripada pasaran sistem keselamatan dan
sekuriti Malaysia dikuasai produk sekuriti dan rakaman CCTV murahan tanpa
jenama.
Lebih
mengejutkan, data yang dikongsi pakar keselamatan antarabangsa pada Seminar
Penyelesaian Vertikal Panasonic 2015 membuktikan produk berkualiti rendah dari
China dan Taiwan itu turut digunakan di syarikat perbankan, agensi insurans dan
pengendali aset strategik berisiko tinggi.
Beliau
berkata, lambakan produk sekuriti tanpa jenama itu membuktikan sikap pemilik
premis hanya mementingkan kos dan mengabaikan keselamatan orang awam serta aset
penting mereka.
"CCTV
tanpa jenama ini sangat murah iaitu sekitar RM200 dan kualitinya diragui kerana
terbukti ada produk CCTV gagal berfungsi dan rakaman pudar selepas enam bulan
digunakan.
"Memburukkan
lagi keadaan apabila pemilik tidak dapat menggantikannya kerana tiada lagi
pembekal menyebabkan mereka terpaksa meneruskan penggunaan produk itu di premis
sehingga membahayakan keselamatan orang awam.
"Ramai
pakar bersependapat sistem sekuriti murahan ini tidak selamat kerana bentuk
ancaman keselamatan kini sudah berubah dan penjenayah tahu cara mengelak
daripada dikesan CCTV," katanya.
Mengulas
lanjut, Pengurus Besar, Kumpulan Pemasaran Global, Bahagian Perniagaan Sistem
Sekuriti Panasonic System Networks Co, Kazunori Kamijo, berkata industri kini
mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan sistem sekuriti termaju yang
mampu mencegah sebelum jenayah berlaku.
Katanya,
sistem sekuriti moden berupaya mengenal pasti sebarang unsur yang berisiko
mencetuskan jenayah hasil kemajuan teknologi data besar yang melaksanakan
analisis daripada pelbagai maklumat, termasuk senarai penjenayah dikehendaki
polis.
"Dengan
kerjasama industri, ia boleh dibangunkan kerana kini teknologi CCTV semakin
canggih dan berupaya membuat rakaman pengecaman wajah serta mengeluarkan amaran
jika ia mengesan wajah penjenayah di lokasi atau ada sebarang unsur
mencurigakan.
"Produk
sekuriti berjenama termasuk Panasonic hanya berkongsi baki 25 peratus
penguasaan pasaran dan kami kini sedia memecah monopoli produk tanpa jenama ini
dengan memperkenalkan barisan penyelesaian sekuriti lengkap pada harga mampu
milik," katanya.
Sumber:
Oleh Che Wan Badrul Alias dan Wan Noor Hayati Wan Alias - Ogos
8, 2015 @ 12:16am